11 Asas Fail Grafik

Pengenalan

Dalam Kursus Bina Website ini fail grafik merujuk kepada gambar yang terkandung di dalam website anda. Setiap template website dalam BizNet mempunyai set fail – fail grafiknya sendiri. BizNet akan menggunakan fail grafik template sekiranya pengguna tidak memasukkan fail grafiknya sendiri. BizNet melakukan ini bagi memastikan website sentiasa lengkap dengan grafik dan tidak kelihatan kosong.

Website BizNet membenarkan anda memasukkan sejumlah fail – fail grafik. Fail – fail grafik ini adalah:-

  1. Fail grafik Header (kepala website)
  2. Fail grafik bahagian Business Description
  3. Satu fail grafik bagi setiap Product/Services. Jumlahnya 3.
  4. Fail grafik latarbelakang bahagian Contact

Jadi kesemuanya 6 fail grafik boleh dimasukkan. Ini adalah sesuai untuk kebanyakan website. Memasukkan terlalu banyak fail grafik dalam satu website tidak digalakkan kerana ianya akan menjadikan website tersebut “berat” dan lambat untuk download – terutamanya pada alatan yang menggunakan plan data.

Apabila anda memasukkan fail grafik anda sendiri, fail grafik anda akan menggantikan fail grafik BizNet. Fail grafik anda akan kekal walaupun anda menukar template. Jika anda memadamkan fail grafik anda, BizNet akan menggunakan balik fail grafik template.

Langkah 1 - Jenis Fail Grafik Website

Terdapat berpuluh jenis fail grafik. Jenis fail grafik dikenali sebagai FORMAT fail grafik. Antara format – format fail grafik yang sering digunakan dalam website ialah:-

  1. JPG atau JPEG di sebut jay-peg
  2. PNG
  3. GIF 

Anda tidak perlu tahu maksud singkatan semua jenis fail grafik tersebut. Yang perlu anda tahu adalah untuk kegunaan lazim, jenis fail yang paling baik digunakan ialah fail jenis JPG. Fail jenis JPG adalah fail yang menghasilkan saiz paling kecil. Ini menjadikannya ringan dan disebabkan itu sangat sesuai untuk pembinaan website.

Fail jenis PNG sering digunakan jika ada bahagian gambar atau grafik tersebut yang hendak dijadikan telus (transparent) supaya boleh memaparkan bahagian belakang.

Fail jenis GIF sering digunakan untuk menghasilkan gambar telus juga. Namun ianya lebih popular sebagai fail untuk menghasilkan animasi video. Ini kerana animasi video GIF tidak ada sekatan terhadap saiz minima, kelajuan, warna dan lain – lain yang diletakkan oleh website seperti YouTube. 

Langkah 2 - Saiz dan Dimensi Fail Grafik

Satu fail grafik ada dua nilai maklumat yang perlu diteliti oleh setiap pembina website. Yang pertamanya ialah saiz fail tersebut. Saiz fail diukur dalam unit byte (bait) dengan simbol B. Saiz fail grafik sering dinyatakan dalam KB (kilo byte) atau MB (Mega byte). KB adalah ribuan byte sementara MB adalah jutaan byte. Sebagai contoh saiz 23.7KB bermaksud 23.7 ribu byte. Begitu juga saiz 3.4MB bermaksud 3.4 juta byte. Semestinya MB itu lebih besar dari KB. Maklumat ini penting diketahu kerana BizNet meletakkan had maksima fail yang boleh anda upload ke dalam website anda sebagai 1MB setiap satu fail. Nilai kecil ini disengajakan supaya tidak membebankan website anda. 

Nilai maklumat kedua yang perlu diteliti berkenaan fail grafik adalah dimensi-nya. Dimensi fail grafik merujuk kepada ukuran panjang dan lebar gambar grafik tersebut. Ukuran dimensi fail grafik di lakukan dalam unit Pixel. Sebagai contoh grafik dengan dimensi 1000 X 300 mempunyai ukuran panjang 1000 pixel dan ukuran lebar (atau tinggi) 300 pixel. 

Dalam Kursus Bina Website ini kita akan menggunakan aplikasi online Google Photo sebagai editor grafik. Kita akan pelajari nanti bagaimana hendak meneliti kedua maklumat penting saiz dan dimensi dalam editor grafik kita dalam pelajaran akan datang.

Cara mendapatkan dua maklumat penting sebarang fail grafik dalam Google Photo. Kita akan pelajari lebih berkenaan ini dalam pelajaran akan datang.

Langkah 3 - Orientasi Fail Grafik

Orientasi fail grafik merujuk kepada sama ada grafik tersebut melintang (landscape) atau menegak (protrait). Perkara ini penting di ambil kira kerana template BizNet menggunakan kedua – dua jenis orientasi ini. 

Gambar landscape (melintang) dan protrait (menegak)

Apabila anda hendak menggantikan satu gambar template BizNet, anda perlu pastikan orientasi gambar anda sama dengan orientasi gambar yang hendak di ganti. Jika tidak, hasilnya tidak akan memuaskan. Lihat satu contoh di bawah.

Menggantikan gambar protrait (wanita dengan beg hitam) dengan gambar landscape (wanita baju putih) sering memberikan hasil kurang memuaskan kerana ada sahaja bahagian penting (bulatan merah) yang akan dipotong dari gambar landscape berkenaan.